FMC Sports atasi tuan rumah

KLANG - Tuan rumah, Melayu Malaysia tidak menepati hajat apabila tumbang dengan 45 larian kepada FMC Sports dari Bangladesh dalam Kejohanan Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa di Bayuemas Oval dekat sini pada 15 Oktober 2012.

Dengan hanya membenarkan lawan berada pada kedudukan 119-6 dalam 38 over,  keadaan seakan-akan memberi peluang terbuka kepada tuan rumah berentap pada sesi petang tetapi keadaan sebaliknya diharungi Melayu Malaysia.

Dengan FMC Sports mengumpulkan angka 192-9 dalam 50 over, Melayu Malaysia melakukan misi mengatasi angka berkenaan tetapi tersentak pada kedudukan 92-6 dalam 25 over. Seterusnya runtuhan wiket terus berlaku dengan 113-7, 143-9 dan akhirnya terkeluar setakat 147.

''Hajat tidak kesampaian, Nampaknya pemukul seakan-akan mahu melaksanakan tugas dengan cepat walaupun banyak over terhidang. Kita perlu perbaiki semuanya apabila bertemu skuad lebih kental, Chilaw Marians dari Sri Lanka keesokan hari,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Alwi Zaman.

Pembuka pukulan lawan, Irfaan Shukkur (61)  telah memastikan skuadnya bernafas pada peringkat awal apabila dua pemukul terkeluar dalam kedudukan 16.

''Dia melakukan tugas yang diperlukan untuk membawa kami menghampiri angka 200,'' kata jurulatih FMC Sports, SM Mortuza Raihan.

Kejohanan dianjurkan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia untuk perebutan Piala Tun Ahmad Sarji dengan menyediakan hadiah wang besar.


KEPUTUSAN:

FMC Sports (Bangladesh) kalahkan Melayu Malaysia dengan 45 larian.
FMC Sports 192-9 (50 over) Irfaan Shukkur 61, Lipon Kumar Chowdhury 57, Maruful Islam Maruf 22, Iqbal Bahar 17.  Aminudin Ramly 2-17, Hazrul Zainal 2-51.
Melayu Malaysia 147 (41.4 over) Nik Azril Ariffin 27, Shafiq Sharif 20, Anwar Arudin 18, Faizal Abu Hassan 15, Suharril Fetri Shuib 15, Aminudin Ramly 15, Faiz M. Noor 14.  Rony Chowdhury 2-14, Tawfiqul Islam 2-20, Imrul Karim 2-45.
Pemain terbaik: Irfaan Shukkur (FMC Sports).
Pengadil: Asoka de Silva (Sri Lanka); Kithsiri Jayaweera (Sri Lanka)

JADUAL 16 OKTOBER
CHILAW MARIANS lwn MELAYU MALAYSIA
(Bayuemas Oval, 10 pagi)