Chilaw Marians ratah wakil Bangladesh

KLANG - Wakil Sri Lanka, Chilaw Marians membuktikan keperkasaan dengan kemenangan mudah, 269 larian ke atas FMC Sports dari Bangladesh dalam pembukaan Kejohanan Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa di Bayuemas Oval dekat sini pada 15 Oktober 2012.

Perlawanan yang dikurangkan dua over kerana kelembapan lapangan tengah menyaksikan pemukul dari Sri Lanka itu terus melakukan pelbagai aksi pukulan yang melepasi sempadan untuk menghimpun 376-6.

Dengan hampir semua pemain yang disenaraikan berada dalam kumpulan pasukan utama dan A negara itu, telah memastikan sasaran FMC Sports tidak kesampaian selepas sesi makan tengah hari.

''Kami datang untuk merangkul kejuaraan dan wang hadiah yang disediakan. Kami laparkan kemenangan besar dan bukti hingga babak akhir Ahad ini,'' kata pengurus Chilaw Marians, Godfrey Dabrera.

Pemukul bergaya, Shehan Jayasuriya mengetuk 117 larian manakala pemain A Sri Lanka, Milinda Siriwardana mengumpul 84 bagi memastikan kecemerlangan skuad divisyen perdana Sri Lanka itu.

Malang sekali dengan FMC Sports yang meraih kejuaraan dalam liga Chittagong dua minggu lepas apabila dijinakkan setakat 107 larian dalam 32.2 over.

''Maaf, segala percaturan kurang menjadi dan kami akan memastikan kemenangan pertama menentang Melayu Malaysia esok,'' kata jurulatih FMC Sports, SM Mortuza Raihan.

Pertandingan tiga penjuru ini dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia bagi perebutan Piala Tun Ahmad Sarji.


KEPUTUSAN:

Chilaw Marians (Sri Lanka) kalahkan FMC Sports (Bangladesh) dengan 269 larian.
Perlawanan dikurangkan kepada 48 over kerana keadaan lapangan tengah lembap.

 
Chilaw Marians 376-6
(48 over) Shehan Jayasuriya 117, Milinda Siriwardana 84, Indika de Saram 60, Gayan Wijekoon kekal 36, Harsha Cooray 24, Amal Athulathmudali 16, Kaushalya Weeraratne kekal 13, Janaka Gunaratne 10.  Md. Tanvir Hossain 2-73.
FMC Sports 107 (32.2 over) Hafizur Rahman Hira 20, Irfaan Shukkur 19, Mohammed Imrul Karim 17, Md. Tanvir Hossain 15.  Malinda Pushpakumara 4-36, Dilhara Lokuhettige 2-12, Kaushalya Weeraratne 2-21.
Pemain terbaik: Shehan Jayasuriya (Chilaw Marians).  

Pengadil: Asoka de Silva (Sri Lanka); Faizshal Niaz-Lyn (Malaysia)

JADUAL 15 OKTOBER:
Melayu Malaysia lwn FMC Sports (Bangladesh)
(Bayuemas Oval, 10 pagi)