Aksi kelas tinggi kriket di Bayuemas Oval

KUALA LUMPUR - Perhitungan kriket antara kelab ternama dengan dibintangi pemain-pemain antarabangsa berlangsung di Malaysia buat pertama kali secara tiga penjuru sebelum diperbesarkan lagi pada musim akan datang.
 
Kejohanan Kriket Undangan Antara Kelab Antarabangsa bagi merebut piala Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid akan digerakkan di gelanggang berstatus One Day International atau ODI  di Bayuemas Oval, akan berlangsung 14 hingga 21 Oktober dengan penampilan hos, Melayu Malaysia di samping Chilaw Marians dari Sri Lanka dan FMC Sports dari Chittagong, Bangladesh.
 
Pertandingan format 50 over ini akan menyediakan hadiah wang tertinggi dalam pertandingan kriket di Malaysia di samping ganjaran lumayan bagi pemain terbaik perlawanan setiap hari.
 
Pengarah kejohanan, Sham Jalil yang juga bekas pemain kebangsaan turut berbangga dengan penampilan pengadil antarabangsa yang juga Presiden Persatuan Kriket Profesional Sri Lanka, Asoka de Silva untuk mengadil pertandingan.
 
''Pertandingan hebat memerlukan tahap pengadilan tertinggi,'' katanya.
 
Pertandingan yang diilhamkan oleh Presiden Kriket Melayu Malaysia ini adalah sebagai sokongan kepada peningkatan prestasi pemain tempatan menerusi kehadiran barisan pemain antarabangsa seperti dari Sri Lanka.
 
Chilaw Marians menampilkan pemain dalam pool kebangsaan seperti Kaushalya Weeraratne (kapten), Milinda Siriwardana, Indika de Saramdan Dilhara Lokuhettige.
 
Turut bersama ialah dua pemain perkasa Bangladesh dari FMC Sports seperti Abul Hashem Raja dan kaptennya, Arif Ahmed.
 
Melayu Malaysia antaranya dibintangi oleh dua pemain yang bermain di Wales tahun lepas, Aminudin Ramly dan Faris Almas-Lee dan dua spinner yang beraksi di Australia musim lepas, Shahrulnizam Yusof dan Nik Azril Ariffin.
 
Turut sama dalam skuad Melayu Malaysia ialah Ahmad Faiz Mohd. Noor, Suharril Fetri Shuib, Anwar Arudin, Faruq Hakimin Azmi, Hazrul Zainal,  Faizal A. Hassan, Nazril A. Rahman, Shafiq Sharif, Aliman Ahmad dan Haziq Zainuddin.
 
Kata Sham, kejohanan seperti ini akan menarik banyak lagi pasukan besar antarabansga pada masa akan datang dan inilah peluang terbaik bagi skuad tempatan seperti Melayu Malaysia untuk bersaing dengan bintang ternama antarabangsa.
 
''Kami yakin kejohanan tahun depan akan diperbesarkan penyertaan tetapi sebagai penganjurnya, Malay Cricket Association of Malaysia akan menentukan pasukan mana dan jumlah bagi musim depan,'' katanya.
 
JADUAL:
 
Ahad: FMC Sport lwn Chilaw Marians
Isnin: Melayu Malaysia lwn FMC Sports
Selasa: Melayu Malaysia lwn Chilaw Marians
Rabu: Chilaw Marians lwn FMC Sports
Khamis: FMC Sports lwn Melayu Malaysia
Jumaat: Chilaw Marians lwn Melayu Malaysia
Ahad: Babak akhir.
 
@ Semua perlawanan bermula 10 pagi di Bayuemas Oval.