UKM benam Universiti Colombo untuk rangkul kejuaraan

KLANG - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menguasai Kejohanan Kriket Undangan Antara Varsiti Antarabangsa apabila membenam juara bertahan, Universiti Colombo dengan 83 larian dalam babak akhir menarik di Bayuemas Oval di sini pada 10 Jun 2012.
 
Setelah memenangi undian dan memilih untuk memukul pada sesi pagi, UKM diperangkap awal apabila kehilangan pembuka pukulan, Shafiq Sharif dan bekas kapten Malaysia, Suhan Kumar Alagaratnam sehingga berkedudukan cemas pada satu ketika.
 
''Kami bernasib baik apabila pemukul pertengahan dapat mengawal serbuan menyeksa barisan pembaling Sri Lanka. Angka 190 dapat juga dikumpulkan walaupun ia bukanlah jumlah selamat di gelanggang antarabangsa ini.
 
''Mujurlah kita mengganas pada sesi memadang,'' kata pengurus UKM, Fairus Shafie.
 
Jurulatih Universiti Colombo, Senarath Alwis menganggap kekalahan pasukannya kepada UKM kerana kehebatan skuad tuan rumah sewaktu memadang.
 
''Kami menjangka dapat memintas angka lawan dengan mudah tetapi bencana pula diterima selepas sajian tengah hari,'' katanya.
 
Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia yang juga Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid turut hadir menyaksikan babak akhir bersama Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

 
KEPUTUSAN BABAK AKHIR
 
Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan Universiti Colombo (Sri Lanka) dengan 83 larian.
Universiti Kebangsaan Malaysia 190 (49.1 over) Faiz M. Noor 45, Aminudin Ramly 31, Haziq Zainuddin 24, Faris Almas-Lee 18, Nazril A. Rahman 18, Shahrulnizam Yusoff kekal 14, Faizal Abu Hassan 13.  PAJ Munidasa 4-33, KUD Vineetha 3-21.
Universiti Colombo 107 (39.1 over) HPN Kondituwakku 29, KMB Sadaruwan 23, WNM Fernando 20, KUD Vineetha 16.  Haziq Zainuddin 3-17, Nik Azril Ariffin 3-25, Nazril A. Rahman 2-30.
Pemain terbaik babak akhir: Haziq Zainuddin (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Pemain terbaik kejohanan: Shafiq Sharif (Universiti Kebangsaan Malaysia).