Kriket Melayu laksanakan program kemuncak

KLANG –  Persatuan Kriket Melayu Malaysia sudah memulakan program kemuncak dalam projek pembangunannya dengan memastikan empat pemain beraksi liga di luar negara bermula akhir tahun lepas.

Penempatan luar merupakan perancangan berikutan program pembangunan terperinci persatuan berkenaan dari peringkat akar umbi hinggalah ke pusat prestasi tinggi.

Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kesempurnakan program berkenaan adalah perancangan sejak tahun 1999 yang membabitkan ribuan murid di peringkat sekolah rendah.

‘’Saya berterima kasih kepada semua penaja dari peringkat awal hinggalah sokongan penempatan luar negara yang dibantu oleh Yayasan Sime Darby sehingga tahun 2014,’’ katanya sewaktu persidangan agung tahunan Kriket Melayu di Bayuemas Oval di sini pada 2 Jun 2012.

Teks beliau dibacakan oleh timbalannya, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob.

Dua pemain dihantar mengikuti pengajian di University of Glamorgan di Wales di samping beraksi dalam liga tempatan di sana manakala dua lagi beraksi dalam liga Persatuan Kriket Australia Barat.

‘’Penghantaran pemain untuk belajar dan bermain di luar negara adalah impian semua persatuan sukan dan pelaksanaan yang dilakukan oleh persatuan ini merupakan kemuncak kepada program pembangunan,’’ katanya.

Beliau turut berharap skuad utama nasional dapat memastikan sasaran 10 tahun Kriket Melayu menjadi sebuah negara bertaraf tinggi dalam kriket dalam dicapai pada tahun depan.

‘’Matlamat ini semakin hampir kerana Malaysia kini berada dalam ranking 30 dunia dan sudah berada dalam divisyen empat dan diharapkan mereka layak ke bahagian 3 akhir tahun ini,’’ katanya.

Sementara itu, semua jawatan untuk kerusi majlis Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah dimenangi tanpa bertanding.

 
ANGGOTA MAJLIS KRIKET MELAYU 2012-2014:

Presiden: Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
Timbalan Presiden: Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob
Naib Presiden: Tan Sri Dr. Wan Abdul Zahid Noordin, Datuk Mir Shahariman Shaharuddin
Setiausaha Agung: Rosmanizam Abdullah
Setiausaha Kewangan: Datuk Seri Abdul Azim Zabidi
Timbalan Setiausaha: Hasan Abdullah, M. Najib Hassan
Timbalan Setiausaha Kewangan: Sham Jalil
Anggota Majlis: Mirnawan Nawawi, Alwi Zaman, Mohidin Hashim, Rosebi Ibrahim, Rusli Asri, Nik Anuay Abdullah.
Juruaudit: Fauze Taha, Nora M. Termizi.