Malaysia tumpas, semakin tertekan

International Under 15 Cricket ChallengeOleh TL ANG
 
KLANG, 31 Mac - Kemenangan mudah Sri Lanka ke atas Malaysia pada Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa dengan sembilan wiket di Bayuemas Oval di sini hari ini memaksa tuan rumah berhadapan tugas menyeksa apabila menentang Singapura esok.
 
Setelah hanya menang tipis dengan satu wiket pada Ahad lepas, Singapura buat masa ini lebih bersedia dan bersemangat untuk membenam skuad negara bagi memastikan babak akhir Ahad ini dilangsungkan tanpa aksi tuan rumah.
 
Selepas selesai semua perlawanan pusingan pertama hari ini, Sri Lanka mendahului dengan enam mata, berbanding Malaysia tiga dan Singapura masih lagi kosong.
 
''Apa pun berpandukan prestasi meningkat daripada perlawanan pertama, kami yakin dapat menumbangkan Malaysia. Tunggu dan lihat,'' kata pengurus Singapura, M. Venakatramana.
 
Malaysia perlu menang pertemuan dengan Singapura walaupun terlalu sukar mengatasi Sri Lanka untuk memastikan aksi lebih yakin dalam babak akhir. Dalam sejarah pertandingan sejak dilangsungkan pada 2004, Malaysia hanya sekali gagal beraksi dalam pertemuan akhir tahun 2005 apabila pertandingan dianjurkan di Colombo. Sri Lanka ketika itu tumbang kepada Bangladesh dalam penentuan akhir di Stadium R. Premadasa.
 
''Tidak ada guna bercakap banyak. Saya tidak faham rentak permainan budak-budak ini. Yang pasti mereka perlu menang walau apa jurang angka dan wiket,'' kata pengurus Malaysia, Mat Rani Seman dari Kelantan.
 
Sementara itu dalam perlawanan hari ini, Malaysia tersilap percaturan apabila memilih untuk memukul setelah memenangi undian. Nyata angka yang dikumpul sebanyak 58 terlalu rendah dan Sri Lanka menghabiskan misi mereka dalam 14.1 over.
 
Pembaling Sri Lanka, Prasansana Jayamanna dipilih pemain terbaik kejohanan setelah merampas empat wiket Malaysia dengan hanya 'menghadiahkan' 13 larian.

 
KEPUTUSAN:
 
Sri Lanka kalahkan Malaysia dengan 9 wiket.
Malaysia 58 (24.1 over) Fitri Sham 11, Fadzrin Kate-Lee 10. Prasansana  Jayamanna 4-13, Ashail Kariyawasam 4-14.
Sri Lanka 59-1 (14.1 over) Shasheen Fernando kekal 28.
Pemain terbaik: Prasansana Jayamanna (Sri Lanka)
Pengadil: Shafizan Shahriman (MAS), Poobalan Loganathan (MAS)
 
JADUAL 1 APRIL:
 
MALAYSIA lwn SINGAPURA
(Bayuemas Oval, 10 pagi)

BERSEDIA... kapten Malaysia, Fadzrin Kate-Lee bersedia menghadapi serbuan Sri Lanka dalam pertemuan di Bayuemas Oval pada 31 Mac 2009.

BERSEDIA... kapten Malaysia, Fadzrin Kate-Lee bersedia menghadapi serbuan Sri Lanka dalam pertemuan di Bayuemas Oval pada 31 Mac 2009.