Sri Lanka cemerlang dalam pembukaan

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Sri Lanka masih kekal sebagai pasukan pilihan apabila bergaya mengatasi Melayu Malaysia dengan 75 larian pada pertemuan pembukaan Cabaran Kriket Bawah 15 Antarabangsa di Bayuemas Oval, dekat sini, 1 April 2012.

Bermula dengan memukul pada sesi pagi, Sri Lanka mengumpulkan sejumlah 210 larian untuk sembilan wiket dalam peruntukan 40 over dengan Ravindu Sasanka mengetuk 65 larian di samping sokongan Charith Asalanka (30) dan Avishka Fernando dengan 20.

Lain pula apabila tuan rumah memulakan perhitungan dalam sesi memukul apabila terperangkap dengan 26 larian untuk empat wiket dalam 10 over awal.

Apa pun mereka berjaya memastikan angka 135-8 dalam maksimum over.

''Kami tersentak pada serbuan awal Sri Lanka, kemudian segala-gala baik tetapi tidak berkemampuan mengejar kerana kehabisan over. Kami akan memastikan permainan yang lebih teratur Selasa ini ketika menentang Afrika Selatan,'' kata pengurus Melayu Malaysia, Mohsain Hashim.

Sri Lanka yang merupakan pasukan terbaik dunia dalam peringkat usia bawah 15 tahun menyertai pertandingan merebut Trofi Tuanku Ja'afar itu sejak tahun 2004.


KEPUTUSAN:

Sri Lanka kalahkan Melayu Malaysia dengan 75 larian.
Sri Lanka 210-9 (40 over) Ravindu Sasanka 65, Charith Asalanka 30, Avishka Fernando 29, Sudesh Kumara 18, Sammu Ashan 14, Balapitiya Hewage Hirusha 13, Kaweesh Dilranga 12.  Hadi Halem 2-22, Nik Nazran Sufri Anuay 2-34, Mahathir Razali 2-40.
Melayu Malaysia 135-8 (40 over) Faiz Ahmad Nasir 34, Harvindran Rajendran kekal 33, Nik Nazran Sufri Anuay 11, Afnan Ghazali 11.  Sudesh Kumara 3-15, Nimesh Kumara 2-21.
Pemain terbaik: Ravindu Sasanka (Sri Lanka).
Pengadil: Sri Murigak Madhavan (Kelatan), Poobalan Loganathan (Selangor).