Tentera terlepas kejuaraan kepada UKM

BARISAN Universiti Kebangsaan Malaysia meraikan kecemerlangan menjuarai semula saingan Perisai Raja-Raja di Bayuemas Oval, Klang pada 11 Mac 2012KUALA LUMPUR - Tentera masih belum berupaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Kriket Perisai Raja-Raja walaupun memastikan Universiti Kebangsaan Malaysia mencapai angka rendah dalam saingan yang diselangi dua gangguan akibat hujan di Bayuemas Oval, Klang pada 11 Mac 2012.
 
Dengan hanya mengehadkan UKM memukul setakat 133 larian, Tentera yang yakin untuk mengulangi pencapaian baik tahun lalu  gagal memanfaatkan keadaan apabila tewas dengan 19 larian berpandukan kaedah Duckworth-Lewis yang meletakkan sasaran 125 untuk menang selepas gangguan sesi kedua.
 
''Tidak bernasib baik. Itu sahaja dapat saya ulas,'' kata penasihat kriket Tentera, Gerard D. Singam.
 
UKM memulakan aksi dengan baik dengan gandingan wiket kedua antara Shafiq Sharif (39 larian) dengan Faizal A. Hassan (30) membawa skuad itu mengumpulkan 78 larian.
 
Apa pun, jatuhan wiket cepat merangsangkan pembaling Tentera mengehadkan pengumpulan larian tinggi UKM dengan ining ditamatkan dalam 46.4 over.
 
Tentera yang yakin pada peringkat awal tersungkur apabila Razman Zabri (4 larian) dan Norwira Zazmie A. Halim (1) mudah  dipulangkan ke astaka.
 
Lagi meresahkan apabila aksi terpaksa direhatkan ketika menerima gangguan hujan pada kedudukan 68-6 dan seterusnya 40 minit kemudian dengan angka Tentera 72-7.
 
Sasaran 53 larian menerusi 36 balingan berpandukan kaedah Duckworth-Lewis meletakkan skuad Tentera dalam kesukaran dengan hanya tiga wiket dalam tangan. Pasukan juara tahun lepas terhenti pukulan pada kedudukan 105 dalam 31.3 over.
 
''Kami sudah menyempurnakan jaminan. Kini misi seterusnya untuk menyediakan pasukan dalam saingan antara varsiti antarabangsa dua bulan lagi,'' kata pengurus UKM, Fairus Shafie.

 
KEPUTUSAN:
 
Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan Tentera dengan 19 larian berpandukan Duckworth-Lewis. Sasaran 125 untuk menang.
UKM 133 (46.4 over) Shafiq Sharif 39, Faizal A. Hassan 30. Rashid Ahad 4-32, Norwira Zazmie A. Halim 3-12.
Tentera 105 (32.3 over) Ariffin Ramly 20, Hairil Anuar 13. Rosman Zakaria 13. Nik Azril Ariffin 3-22, Haziq Zainuddin 2-14, Faruq Hakimin Azmi 2-18.
Pemain terbaik babak akhir: Rashid Ahad (Tentera)
Pemain terbaik kejohanan: Shafiq Sharif (UKM)

BARISAN Universiti Kebangsaan Malaysia meraikan kecemerlangan menjuarai semula saingan Perisai Raja-Raja di Bayuemas Oval, Klang pada 11 Mac 2012.

BARISAN Universiti Kebangsaan Malaysia meraikan kecemerlangan menjuarai semula saingan Perisai Raja-Raja di Bayuemas Oval, Klang pada 11 Mac 2012.