UiTM gagal tandingi Perak-TLDM

KUALA LUMPUR - Perak-TLDM melepasi halangan untuk bertanding dalam saingan Kriket Melayu Antara Negeri merebut Perisai Raja-Raja bermula 6 hingga 11 Mac ini apabila memenangi pusingan kelayakan membenam Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan tujuh wiket di Bayuemas Oval, dekat sini pada 4 Februari 2012.
 
Dengan kemenangan itu, Perak-TLDM akan bersama tujuh lagi pasukan untuk beradu tenaga dalam pertandingan ternama yang dianjurkan oleh Persatuan Kriket Melayu (Malaya) Malaysia sejak tahun 1951.
 
Setelah tumpas undian dan dipaksa lawan untuk memadang, Perak-TLDM menguasai perlawanan seawal 20 over apabila 'mematikan' enam pemukul UiTM pada kedudukan 55.
 
Seterusnya UiTM dipaksa menamatkan pukulan setakat 76; angka rendah berpandukan sebahagian besar pemainnya amat berpengalaman di peringkat antarabangsa.
 
Perak-TLDM mengatasi lawan dalam 20 over dengan pengumpulan 77 larian untuk tiga wiket.
 
Pengurus perlawanan, Azahari Fitri M. Fuad berkata, antara punca UiTM tewas disebabkan pasukan berkenaan masih tidak memiliki jurulatih untuk membimbing sesi kejurulatihan dan permainan sebenar.
 
 
KEPUTUSAN KELAYAKAN PERISAI RAJA-RAJA:

Perak-TLDM kalahkan Universiti Teknologi MARA dengan 7 wiket.

Universiti Teknologi MARA 76 (28 over).  Zubair Asyraf Norazmi 30, Ahmad Zahid Adnan 16.  Asyraf A. Rahman 3-3, Rudy Ismandi Mansor 3-19, Norzaifee Zainal 2-9, Nazirul Izuddin Halim 2-20.
Perak-TLDM 77-3 (20 over).  Halimy Mohad Razak 23, Nazirul Izuddin Halim 18.
Pengadil: Hafiz Zaman Huri (Negeri Sembilan) dan Faizshal Niaz-Lyn (Kuala Lumpur)
Pencatat: Madhavan Sri Murigak (Selangor)