Enam perlawanan tahap tinggi di Perth

U17KUALA LUMPUR - Barisan bawah 17 Melayu Malaysia akan memastikan enam perlawanan pendedahan di Perth, Australia bermula 16 hingga 22 Disember akan memberi kelebihan kepada skuad berkenaan bagi menghadapi saingan Piala Asia Bawah 19 tahun depan.
 
Walaupun barisan berkenaan rata-rata masih muda tetapi program pembangunan Persatuan Kriket Melayu Malaysia telah melahirkan kumpulan peringkat usia berkenaan sebagai antara yang terbaik.
 
''Dengan berbekalkan enam perlawanan berkualiti, saya yakin pasukan ini akan memperoleh manfaat besar dan tidak dinafikan sebagian besar pemain kumpulan ini akan membarisi skuad bawah 19 negara kelak,'' kata pengurus pasukan, Mohsain Hashim.
 
Enam perlawanan dalam pendedahan hasil tajaan Yayasan Sime Darby itu akan menampilkan Akademi Universiti Western Australia, Mt. Lawley, Belridge Senior High School, Bedford Morley, John Forrest dan Baswater Morley.
 
Dua pasukan utama dalam Liga Bawah 17 Persatuan Kriket Australia Barat, Mt. Lawley dan Bayswater Morley merupakan pasukan handal dan kemenangan ke atas kedua-duanya akan menjadi pengukur kemantapan skuad bawah 17 Melayu Malaysia.
 
''Kami terlalu yakin barisan muda ini akan memastikan kemaraan skuad bawah 19 Malaysia dalam saingan peringkat Asia tahun depan.''

 
SKUAD BAWAH 17 MELAYU MALAYSIA: Fadzrin Kate-Lee, Norharif Hamidon, Adzim Yahaya, Noor Afif Saufee, Fauzan Malik, Azwar Tajri, Tharma Raj CM, A. Tajudin Ismail, Che Wan Razlan Zalati, Nasiruddin Mazlan, Mahadi Muda, Irfan Ruzdi, Anwar A. Rahman, Wafiq Irfan Zarbani, Fitri Sham.
Pengurus: Mohsain Hashim
Jurulatih: Sham Jalil
Pengadil: Hafiz Zaman Huri.

u17

u17

u17

u17