Kriket Melayu hantar dua pemutar ke Australia

SHAHRULNIZAM YUSOF dan Nik Azril merakamkan kesediaan beraksi cemerlang di Perth, Australia sewaktu di LCCT, Sepang malam 11 Oktober 2011. KUALA LUMPUR - Dua pemain kriket utama kebangsaan akan bermain dalam liga di Australia selama lima bulan apabila Persatuan Kriket Melayu Malaysia menamakan Shahrulnizam Yusof dan Nik Azril Ariffin untuk beraksi di Perth mulai Oktober 2011 hingga Mac 2012.
 
Dua kelab tempatan di Perth, Mount Lawley dan Bedford Morley yang berada dalam liga Persatuan Kriket Australia Barat (WACA) telah menyenaraikan pemain berkenaan untuk mewakili pasukan masing-masing.
 
Penempatan di Perth itu mendapat sokongan Yayasan Sime Darby yang turut menampung pemergian dua pemain kebangsaan ke University of Glamorgan di Wales minggu lepas.
 
Shahrulnizam. 21 dan Nik Azril, 20, kedua-dua pelajar tahun dua di pusat prestasi tinggi Kriket Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia berlepas ke Perth malam 11 Oktober 2011  dan akan berada di Australia  hingga lewat Disember dan kembali beraksi pada awal Januari tahun 2012.
 
Kelab Perth itu hanya memerlukan dua pemutar untuk membarisi pasukan masing-masing kerana Australia menang terkenal dengan barisan pembaling pantas tetapi sering ketandusan pemutar.
 
Shahrulnizam merupakan pemutar kidal skuad utama negara manakala Nik Azril adalah off-break bowler yang turut sama bergelar pemukul perkasa.
 
''Ini merupakan peluang terbaik kepada pemain kriket di bawah naungan Kriket Melayu yang membangunkan sukan ini dari peringkat akar umbi, pembangunan menengah, pusat prestasi tinggi dan kini penempatan pemain terpilih ke luar negara,'' kata Presiden Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
 
Kedua-dua pemutar berlepas ke Perth malam kelmarin.
 
SHAHRULNIZAM YUSOF dan Nik Azril merakamkan kesediaan beraksi cemerlang di Perth, Australia sewaktu di LCCT, Sepang malam 11 Oktober 2011.
SHAHRULNIZAM YUSOF dan Nik Azril merakamkan kesediaan beraksi cemerlang di Perth, Australia sewaktu di LCCT, Sepang malam 11 Oktober 2011.