Kriket Melayu, Yayasan Sime Darby pastikan penempatan pemain di luar negara

AMINUDIN RAMLY (kiri) dan Faris Almas-Lee memaparkan keyakinan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Wales pada 2 Oktober 2011.KUALA LUMPUR - Persatuan Kriket Melayu Malaysia menggandakan tanggungjawab memuncakkan prestasi pemainnya apabila menghantar dua tenaga utama kebangsaan, Faris Almas-Lee dan Aminudin Ramly untuk menyambung pengajian di Unversity of Glamorgan, Wales sambil bermain dengan kelab tempatan di sana.
 
Kedua-dua pemain negara yang berusia 21 tahun itu berlepas ke Cardiff malam 2 Oktober 2011 untuk mengharungi komitmen penempatan luar yang dirangka oleh Kriket Melayu dengan sokongan Yayasan Sime Darby.
 
Tidak terkecuali penghantaran dua pemain itu, Kriket Melayu dengan Yayasan Sime Darby juga bergandingan memastikan dua pemutar kebangsaan, Shahrulnizam Yusof dan Nik Azril Ariffin beraksi dalam liga Persatuan Kriket Australia Barat (WACA) selama lima bulan di Perth bermula pertengahan bulan Oktober.
 
''Kami sudah melengkapkan program secara menyeluruh dalam membangunkan kriket di negara ini. Saya berterima kasih kepada Yayasan Sime Darby yang bersetuju menaja pemergian keempat-empat pemain dalam program penempatan dan pendedahan luar pertubuhan ini,'' kata Presiden Kriket Melayu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
 
Faris menyambung pengajian dalam bidang perakaunan manakala Aminudin dalam pengajian perniagaan. Shahrulnizam dan Nik Azril yang merupakan pelajar pusat prestasi tinggi kriket di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mendapat pelepasan untuk bermain selama lima bulan.
 
Ahmad Sarji berkata, program pembangunan Kriket Melayu untuk semua kaum bermula dari pusat-pusat bawah 12 tahun di seluruh negara yang kemudian bersambung di Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah. Pemain bertaraf nasional pula akan mengikuti kesinambungan di pusat prestasi tinggi Kriket Melayu di UKM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan APIIT Unversity College of Technology & Innovation.
 
''Penempatan pemain di luar negara merupakan kemuncaknya. Program pembangunan menyeluruh Kriket Melayu ini memastikan pemain berwibawa mewakili pasukan utama negara di samping skuad peringkat usia kebangsaan,'' kata Ahmad Sarji.
 
AMINUDIN RAMLY (kiri) dan Faris Almas-Lee memaparkan keyakinan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Wales pada 2 Oktober 2011.
AMINUDIN RAMLY (kiri) dan Faris Almas-Lee memaparkan keyakinan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Wales pada 2 Oktober 2011.