SMK Penang Free rasai bahang babak akhir

PERHITUNGAN untuk menentukan juara musim kelapan pada Cabaran Projek Kriket Nasional merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran pada 15 dan 16 Oktober 2011 menjanjikan debaran untuk juara bertahan, Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free.
 
Juara sejak tahun 2007 itu bakal berhadapan dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil yang bernasib baik memintas finalis tahun lepas, SMK Victoria dari Kuala Lumpur dalam dua perlawanan terakhir pada pusingan awal.
 
SMK Penang Free bertahan sebagai pendahulu dalam saingan pusingan awal dengan mengumpul 79.9 mata berbanding SSBJ 59.5, SMk Victoria dengan 55.51 dan pasukan di tangga keempat, Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang, 45.08.
 
Tiga pasukan terbawah memiliki keupayaan seimbang tetapi SMK Penang Free gagah di setiap sudut walaupun separuh daripada kesebelasan utama hanya di bawah usia 15 tahun.
 
''Yang pasti pertarungan dalam babak akhir selama dua hari ini boleh mencabar kesungguhan SSBJ yang diwakili  satu-dua pemain daripada pool pasukan kebangsaan yang mengharungi pengajian prauniversiti,'' kata penyelaras pertandingan, Ali Suman.
 
Setidak-tidaknya, SMK Penang Free akan terasa bahang babak akhir untuk mempertahankan kejuaraan dan mengukir kesungguhan mencapai kejuaraan kelima berturut-turut.  
 
Dengan pengalaman kaptennya, Fadzrin Kate-Lee, Ahmad Tajudin Ismail, Nasiruddin Mazlan serta serbuan menggila pembaling dari Kuala Krai Kelantan, Mahadi Muda, SMK Penang Free berada pada kedudukan terbaik untuk bergelar pasukan pilihan lagi.
 
Skuad utara itu juga diperkemaskan dengan kehadiran ketua pasukan bawah 14 nasional, Faiz Ahmad Nasir serta pemutar kidal berusia 13 tahun dari Juasseh, Negeri Sembilan, A. Hadi Halem.
 
SSBJ semestinya perlu bersandarkan kepada pengalaman barisannya untuk merangka kebijaksanaan  mengolah strategi dalam permainan dua ining yang sering mengukarkan ramalan.
 
JADUAL
(15 & 16 Oktober 2011)
 
SMK Penang Free lwn Sekolah Sukan Bukit Jalil
(Bayuemas Oval, 10 pagi)
 
KEDUDUKAN
(Pusingan awal)
 
SMK Penang Free 79.9 mata
SS Bukit Jalil 59.5 mata
SMK Victoria 55.51 mata
SMK Tinggi Kajang 45.08 mata