Pendatang baru berkeupayaan tinggi

PASUKAN Kota Bharu meraikan kejayaan memenangi Perisai Tun Ahmad Sarji dalam pertandingan tahun lalu di Bayuemas Oval, Klang.KUALA LUMPUR - Persaingan musim ke-13 dalam Kejohanan Kriket Elit Bawah 12 Kebangsaan akan menampilkan empat pasukan baru yang bakal mengharungi cabaran bagi merebut Perisai Tun Ahmad Sarji bermula 7 hingga 11 Jun 2011 di Bayuemas Oval, Klang dan UKM Oval di Bangi.

Kekal mengetuai perhitungan ialah juara bertahan, Kota Bharu dari Kelantan yang sudah tiga kali merangkul kejuaraan di samping naib juara tahun lepas, Westlands (Pulau Pinang) dan pasukan kental dari bandar diraja, Pekan (Pahang).

Empat pasukan yang bakal menyelami format dengan penampilan tiga pemain perempuan yang diperkenalkan buat pertama kali, ialah Bukit Petaling (Kuala Lumpur), Kampung Gelam (Melaka), Bayuemas (Selangor) dan Parit Jawa dari Johor.

Setelah penyepian wakil Johor untuk beberapa tahun, Parit Jawa yang dibimbing bekas sifu Pekan, Abdul Salim Hussin, bakal bertarung dengan penyenaraian tiga perempat daripada pemain yang membawa kejayaan Muar dalam saingan antara daerah peringkat Johor tahun ini.

‘’Penyertaan musim 2011 merupakan ujian sama ada corak kejurulatihan kolonial yang dibekalkan Abdul Salim masih relevan kepada pembangunan kriket di Malaysia,’’ kata pengarah kejohanan tahun ini, Mohsain Hashim.

Bukit Petaling bakal menghimpun tenaga baru tetapi boleh melakukan kejutan dalam satu-dua perlawanan tetapi Kampung Gelam yang dibimbing bekas penyelaras pasukan Felda Redong, Labis, Rashid Yassin menjanjikan aksi terbaik daripada mana-mana pasukan Melaka.

Tetapi percaturan terbaik pendatang baru adalah daripada skuad Bayuemas dari Klang yang merupakan pasukan bakal menggegar dalam penyertaan pertama kelak.

‘Kuala Langat; sebuah pasukan tradisi yang sememangnya perlu diawasi kegarangan dalam setiap penyertaan tidak ingin bercakap besar malah penyelarasnya, Jacob Mathews sekadar memesan pencabar agar bersedia menghadapi kekentalan pasukan itu.

Begitu juga dengan Kota Bharu dan Pekan yang sukar dicabar apabila menghadapi hari-hari saingan sebenar. Tidak terkecuali Westlands yang merupakan pasukan angkat Sekolah Menengah Penang Free; sebuah pasukan juara dalam program Projek Kriket Nasional Persatuan Kriket Melayu Malaysia.


KUMPULAN A:
Kota Bharu (Kelantan), Kuala Langat (Selangor), Bukit Petaling (Kuala Lumpur), Kampung Gelam (Melaka)

KUMPULAN B
Westlands (Pulau Pinang), Pekan (Pahang), Bayuemas (Selangor), Parit Jawa (Johor)

JADUAL
7 Jun (Selasa)
Westlands lwn Parit Jawa
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)

Pekan lwn Bayuemas
(Bayuemas Oval, 2 petang)

Kota Bharu lwn Kampung Gelam
(UKM Oval, 9.30 pagi)

Kuala Langat lwn Bukit Petaling
(UKM Oval, 2 petang)

8 JUN (Rabu)
Kampung Gelam lwn Kuala Langat
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)

Bukit Petaling lwn Kota Bharu
(Bayuemas Oval, 2 petang)

Parit Jawa lwn Pekan
(UKM Oval, 9.30 pagi)

Bayuemas lwn Westlands
(UKM Oval, 2 petang)

9 JUN (Khamis)
Westlands lwn Pekan
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)

Bayuemas lwn Parit Jawa
(Bayuemas Oval, 2 petang)

Kota Bharu lwn Kuala Langat
(UKM Oval, 9.30 pagi)

Bukit Petaling lwn Kampung Gelam
(UKM Oval, 2 petang)

10 JUN (Jumaat)
Separuh akhir di Bayuemas Oval

11 JUN (Sabtu)
Babak akhir mulai 10 pagi di Bayuemas Oval

PASUKAN Kota Bharu meraikan kejayaan memenangi Perisai Tun Ahmad Sarji dalam pertandingan tahun lalu di Bayuemas Oval, Klang.

PASUKAN Kota Bharu meraikan kejayaan memenangi Perisai Tun Ahmad Sarji dalam pertandingan tahun lalu di Bayuemas Oval, Klang.