LATAR BELAKANG KRIKET MELAYU

SEJARAH Kriket Melayu tergolong antara pertubuhan warisan di negara ini. Ia mula digerakkan pada 15 April 1950 di mana pakatan mewujudkan suatu pertubuhan yang dinamakan Persatuan Kriket Melayu Se-Malaya berlangsung di Rumah Persekutuan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur .
 
Jawatankuasa penaja yang dibentuk ketika itu terdiri daripada Dato’ Yahya Abdul Razak (Pengerusi), Abbas Ahmad Thambi (Setiausaha) dan ahli jawatankuasa biasa pula ialah, Yaacob Abdul Latiff (Duta Malaya di Indonesia), LBM Ariffin, Mahayuddin M. Zain, A. Wahab Hassan dan Salleh Abdul Majid.
 
Setelah wujudkan jawatankuasa protem untuk beberapa bulan, kemudian pertubuhan sebenar wujud dengan anggota jawatankuasa seperti berikut:

 
Yang Dipertua: Dato’ Yahaya Abdul Razak
Naib Yang Dipertua: Akhbar Tajuddin (P.Pinang), Shuaib Osman (Kedah)
Setiausaha/Bendahari: Abbas Ahmad Thambi
Pemeriksa Kira-Kira: Salleh Abdul Majid, Ismail Omar
AJK Biasa: Wakil setiap negeri di Tanah Melayu & Singapura
 

Penaung Agung bagi persatuan itu ialah SPB Yang di-Pertuan Agong manakala Raja-Raja Melayu dan Gabenor selaku Penaung.

 
Apapun persatuan ini dibubarkan pada 3 November 1978 dengan tiga alasan utama:
 
a) Tiada ada ahli yang sanggup memegang jawatan Setiausaha.
b) Minat pemain dan pengurusan dalam negeri telah merosot.
c) Semua fail dan rekod ghaib bersama Ghazali Osman (Setiausaha ketika itu).
 

Sejak 1950 hingga 1978 antara kejohanan yang dianjurkan ialah Perisai Raja-Raja (Antara Negeri untuk Melayu), Perisai Menteri Besar (Utara menentang Selatan) serta pelbagai piala pusingan untuk pertemuan menentang Sikh Malaysia, Eurasian serta Ceylon Malaysia.
 
Antara pemain ternama wujud ketika itu ialah Abdul Aziz Ismail (Datuk – Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran), Ahmad Daud Md. Hashim (Datuk – Penghibur), Hayati Meah, Zainuddin Meah, Alwi Zaman, Zainon Mat, Mir Shahariman (Datuk – Arkitek ternama), Aziz Hamid, Abu Bakar Said dan Ismail Ali. Putera dari Negeri Sembilan, Tunku Ja’afar juga cemerlang dan pernah memikul tugas sebagai kapten Perak selama dua tahun yang menjuarai Perisai Raja-Raja (1952 dan 1953).

 

Kriket Melayu (Edisi Baru)

KEMUDIAN pada 21 Ogos 1992, atas desakan Datuk Abdul Aziz Ismail (Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan), wartawan Rosmanizam Abdullah telah memanggil suatu mesyuarat penubuhan Persatuan Kriket Melayu Malaysia. Mesyuarat berlangsung di Kelab Wartawan Malaysia, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur dengan kehadiran 21 peminat kriket seluruh negara. Antara yang hadir ialah bekas setiausaha Abbas Ahmad Thambi (beliau meninggal dunia 12 hari selepas mesyuarat penubuhan).
 
Majlis penaja dianggotai oleh Datuk Abdul Aziz Ismail (Yang Dipertua), Rosmanizam Abdullah (Setiausaha Agung), Zahari Suradi (Setiausaha Kewangan), Zahani Tan Sri Ahmad (Ahli Majlis), Che Yazid Che Seman (Ahli Majlis) dan Mohd. Noor Mohd. Ishak (Ahli Majlis).
 
Pada 4 Jun 1993, Persatuan Kriket Melayu Malaysia didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan tetapi malangnya, Datuk Abdul Aziz meninggal dunia seminggu kemudian. Dalam mencari pemimpin yang benar-benar mantap, Rosmanizam mengambil langkah berani untuk memujuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan memegang tampuk kepemimpinan sebagai Yang Dipertua.
 
Pada 20 Mac 1994, mesyuarat agung pertama Persatuan Kriket Melayu Malaysia berlangsung di Istana Hinggap Seremban dengan barisan ahli majlis seperti berikut:

 
Yang Dipertua: DYMM Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman
Timbalan: Zahani (Tan Sri) Ahmad
Setiausaha Agung: Rosmanizam Abdullah
Setiausaha Kewangan: Zahari Suradi
Timbalan Setiausaha: Hasan Abdullah
Tim. S-usaha Kewangan: Sham Jalil
Ahli Majlis Biasa: Haris Abu Baker, Che Yazid Che Seman, Mohd. Noor Mohd. Ishak, Jaafar Abdullah, Kazarudin Kamaruddin, Nazeli Jaafar.
 

Persidangan (mesyuarat) agung berlangsung setiap tahun dengan lancar dan barisan kepemimpinan juga berubah dari semasa ke semasa berpandukan keadaan.
 
Persatuan ini ternyata teguh dalam tanggungjawab melahirkan pemain peringkat usia untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa terutama sekali hampir 90 peratus peserta yang membarisi negara dalam skuad bawah 13, 15, 17 dan 19 tahun negara adalah hasil daripada program pembangunan Kriket Melayu. Ini termasuklah pemain berketurunan India dan Cina di samping lebih tiga perempat (75 peratus) adalah pemain Melayu. Program pembangunan Kriket Melayu adalah bermatlamatkan bangsa Malaysia daripada pelbagai kaum.
 
Struktur pembangunan Kriket Melayu telah memperoleh pengiktirafan antarabangsa apabila persatuan menerima Anugerah Program Pembangunan Keseluruhan Terbaik Asia pada tahun 2004 oleh Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).
 
Setelah memenangi pelbagai pertandingan baik dalam dan luar negara termasuk menjuarai Liga Kriket Kebangsaan setiap tahun sejak 1998 hingga 2001, Persatuan Kriket Melayu Malaysia seterusnya mengumumkan misi pembangunan sepenuhnya.
 
Dalam Program Pembangunan Kriket Remaja (bawah 12 tahun), persatuan memiliki puluhan pusat di seluruh negara dan di bawah pemantauan barisan jurulatih bertauliah dari Sri Lanka , Bangladesh dan tenaga tempatan. Antara pusat ini ialah Sungai Layar (Kedah), Westlands (Pulau Pinang), Kelab PJ, Sungai Besar, Kuala Langat (Selangor), Bukit Petaling (Kuala Lumpur), Gadong, Gemencheh (Negeri Sembilan), Lereh (Melaka), Kerambit, Pekan (Pahang), Kota Bharu, Krai (Kelantan) dan Kota Kinabalu di Sabah.
 
Daripada kecemerlangan program ini, pelajar kriket yang menonjol prestasi akan dipilih memasuki program di Projek Kriket Nasional – Pembangunan Menenengah di empat pusat iaitu Penang Free School (Pulau Pinang), Victoria Institution (Kuala Lumpur), SMK Tinggi Kajang (Selangor) dan SS Bandar Penawar di Johor. Semua pusat di bawah pengawasan sepenuhnya oleh jurulatih luar negara di bawah penggajian Kriket Melayu.
 
Pada tahun 2007, Kriket Melayu mengadakan pakatan mewujudkan pusat prestasi tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan University College of Technology & Innovation (UCTI) bagi meneruskan kesinambungan pembangunan ke peringkat yang lebih tinggi. Pusat prestasi ketiga ialah dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ditandatangani Memorandum Persefahaman pada 28 Januari 2011.
 
Juga atas keperkasaan pertubuhan ini, Setiausaha Agung Kriket Melayu, Rosmanizam Abdullah dipilih menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Negara oleh kerajaan sempena Malam Olahragawan/Olahragawati Kebangsaan 2005.
 
Pada tahun 2007, Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Tan Sri (kini Tun) Ahmad Sarji Abdul Hamid pula menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Negara.

 
Barisan Ahli Majlis 2010-2012:
 
Penaung: DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah
Yang Dipertua: Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
Timbalan: Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob
Naib Yang Dipertua: Tan Sri Wan Mohd. Zahid Noordin, Dato’ Ar. Mir Shahariman Shaharuddin
Setiausaha Agung: Rosmanizam Abdullah JP
Setiausaha Kewangan: Dato’ Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi
Timbalan Setiausaha: M. Najib Hassan, Hasan Abdullah   
Tim. S-usaha Kewangan: Sham Jalil   
Ahli Majlis Biasa: Rusli Asri, Alwi Zaman, Mirnawan Nawawi, Rosebi Ibrahim, Mohidink Hashim, NIk Anuay Abdullah
Juruaudit Dalam: Rosli Mohammad & A. Razak Din
 
Persatuan Kriket Melayu Malaysia didaftarkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 pada 8 Mei1998 dengan pendaftaran 0010/98.

YANG DIPERTUA Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bergambar di hadapan pejabat pentadbiran di Bayuemas Oval selepas Persidangan Agung Tahunan 2010.

YANG DIPERTUA Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bergambar di hadapan pejabat pentadbiran di Bayuemas Oval selepas Persidangan Agung Tahunan 2010.