Tentera rampas Perisai Raja-Raja

BARISAN Tentera meraikan kejayaan memenangi Perisai Raja-Raja dalam babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri di Bayuemas Oval pada 12 Mac 2011.KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera kembali merampas Perisai Raja-Raja apabila menewaskan juara bertahan, Selangor-UKM dengan 31 larian dalam babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri di Bayuemas Oval, Klang pada 12 Mac 2011.

Selepas kehilangan kejuaraan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia pada dua tahun berturut-turut sejak 2009, Tentera mengatasi ketegangan babak akhir di gelanggang antarabangsa itu setelah lawan meletakkan hanya 117 sebagai sasaran kemenangan apabila pertemuan berkenaan dipertaruhkan 30 over berikutan kelembapan padang.

UKM yang mengumpulkan jumlah tertinggi (460 larian) dalam sejarah pertemuan Perisai Raja-Raja apabila membenam Kedah dalam separuh akhir Khamis lepas ternyata mengharungi malang dari awal apabila kehilangan dua wiket awal tanpa sebarang larian.

Pemukul berbadan gempal, Nik Azril Ariffin yang mengumpulkan angka tertinggi, 30 larian pun gagal menyerlah penguasaan UKMyang hanya menamatkan pukulan setakat 85 dalam 24.5 over.

‘’Semua tidak menjadi. Ini merupakan pengajaran agar skuad sehebat mana pun tidak boleh beranggapan dapat mengekalkan rentak kecemerlangan setiap masa.  Kita perlu membaiki kepincangan ini,’’ kata pengurus pasukan UKM, Fairus Shafie.

Pemutar Tentera, Suharril Fetri Shuib membaham tiga mangsa untuk dinamakan pemain terbaik perlawanan akhir manakala tiga lagi pembaling, Syazrul Ezat Idrus, Mahyudin Mansor dan Norwira Zazmie A. Halim masing-masing meranapkan dua wiket UKM.

Timbalan Presiden Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob menyampaikan hadiah kepada pemenang.


KEPUTUSAN:

Tentera kalahkan Selangor-UKM dengan 31 larian.
Tentera 116 (29.3 over)
Anwar Arudin 28, Shukri A. Rahim 16, Norwira Zazmie Halim 11, Suharril Fetri Shuib 11. Haziq Zainuddin 4-10, Nik Azril Arifin 2-20.
Selangor-UKM 85  (24.5 over)
Nik Azril Arifin 30, Adib Abdul Rahim 21, Ahmad  Faiz M. Noor 13, Aminudin Ramly 10. Suharril Fetri Shuib 3-13, Syazrul Ezat Idrus 2-11, Mahyudin Mansor 2-20, Norwira Zazmie Halim 2-14.
Pemain terbaik babak akhir: Suharril Fetri Shuib (Tentera)
Pemain terbaik Kejohanan: Aminudin Ramly (Selangor-UKM)

BARISAN Tentera meraikan kejayaan memenangi Perisai Raja-Raja dalam babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri di Bayuemas Oval pada 12 Mac 2011.

BARISAN Tentera meraikan kejayaan memenangi Perisai Raja-Raja dalam babak akhir Kejohanan Kriket Antara Negeri di Bayuemas Oval pada 12 Mac 2011.