UiTM dan Kriket Melayu capai kesepakatan

mouSHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini menjadi pusat prestasi tinggi kriket kedua Persatuan Kriket Melayu Malaysia hasil kesepakatan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua badan berkenaan 25 Februari 2011. Setelah mengadakan pakatan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 lalu, jalinan persefahaman dengan UiTM akan memuncakkan kegiatan kriket di institusi berkenaan di samping pengambilan baru pelajar kriket hasil program Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah Kriket Melayu setiap tahun.

''Dengan empat program Projek Kriket Nasional persatuan, sebahagian daripada pemain berkualiti tinggi akan diserapkan mengikuti pengajian di UiTM dan mereka akan mengharungi pelbagai kegiatan berprestasi tinggi seperti mana yang dilakukan untuk beberapa tahun ini di UKM,'' kata Timbalan Presiden Kriket Melayu, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob.

Buat masa ini, 13 pelajar kriket mengikuti program di UKM dan mereka benar-benar berjaya dalam segala segi termasuk prestasi mereka dalam kriket terus melonjak ke tahap tinggi.

Buat permulaan, UiTM dan Kriket Melayu akan memastikan pembinaan gelanggang latihan empat lorong termasuk satu turf di kampus Seksyen 17 dan seterusnya pengambilan pelajar sebaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk bergandingan dengan pemain yang tersedia sekarang.

''Memandangkan prestasi pemain UiTM buat masa ini masih di tahap sederhana, pengambilan jurulatih prestasi tinggi perlu diusahakan segera lebih-lebih lagi untuk menyaingi UKM yang dikira gagah di rantau Asia ini,'' kata Wan Abdul Rahman.

UKM bakal memiliki jurulatih prestasi tinggi ternama dari Bangladesh Mohamad Sallah Uddin mulai bulan depan untuk memulakan program yang benar-benar memanfaat negara lebih-lebih lagi semua pemain di institusi berkenaan mewakili sama ada skuad utama dan bawah 19 nasional.

''UiTM diharapkan dapat beriringan dengan kegarangan barisan UKM untuk sama-sama memacu kecemerlangan Malaysia dalam kriket dalam masa terdekat ini.

''Saya sangatlah berharap UiTM akan mengambil peluang keemasan ini bersama Kriket Melayu untuk terus maju,'' kata Wan Abdul Rahman.

Pada sesi MoU, Kriket Melayu diwakili Wan Abdul Rahman dan naib presidennya, Datuk Ar. Mir Shahariman Shaharuddin manakala UiTM pula mewakilkan naib canselornya, Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said.
 
mou
 
mou
 
mou
 
mou
 
mou
 
mou