UKM menang besar ke atas UiTM

UKMKUALA LUMPUR - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempertahankan kegarangan sekali gus mengekalkan kejuaraan dalam saingan kriket Twenty20 UKM bagi tahun ketiga berturut-turut apabila membelasah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan sepuluh wiket di Bayuemas Oval, Klang pada 27 Februari 2011.

Dengan hanya berbekalkan 48 larian, UiTM dilihat sudah menyerah awal terutama sekali aksi pembuka pukulan UKM, Shafiq Sharif (42 larian tanpa tewas) yang menghentam dua pukulan enam dan tujuh hayunan empat dalam memastikan juara bertahan itu memintas angka lawan cuma dalam tiga over.

Bermula dengan penuh debaran, UiTM kehilangan tiga wiket dalam over pertama dan seolah-olah merangkak untuk mengumpulkan larian. Pemukul keempat berasal dari Sungai Petani, Zulhaimy Salleh bernasib baik dapat mengumpulkan 16 bagi membantu UiTM menghimpun 48 larian.

Pukulan enam Shafiq pada akhir over ketiga membuktikan keperkasaan UKM untuk merangkul Piala Menteri Pengajian Tinggi bagi musim ketiga terus menerus.

''Kami akan menggandakan lagi keperkasaan UKM lebih-lebih lagi persediaan  menghadapi saingan Antara Varsiti Antarabangsa Oktober ini. UKM mahu menjadi juara setelah tumpas dalam babak akhir kepada University of Western Australia tahun lepas,'' kata Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.


KEPUTUSAN

Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan Universiti Teknologi Mara dengan 10 wiket


UiTM 48 (16.3 over) Zulhaimy Salleh 16. Aliman Ahmad 3-7, Faruq Hakimin Azmi 2-0, Shahrulnizam Yusof 2-6.
UKM 51-0 (3 over) Sharif Sharif kekal 42.

Pemain terbaik babak akhir: Aliman Ahmad (UKM)
Pemain terbaik kejohanan: Shafiq Sharif (UKM)

Pengadil: Sri Murigak Madhavan, Faizshal Niaz-Lyn