UKM perhebat kegiatan kriket bawah 12

Pemain kebangsaan, Faruq Hakimin Azmi menerangkan cara melakukan hayunan kepada peserta klinik Kriket Astro di UKM Oval, Bangi semalam. - Utusan/Hayat SueetUNIVERSITI  Kebangsaan Malaysia (UKM) akan terus menjadi gelanggang aktif kegiatan kriket bukan sahaja sebagai pusat prestasi tinggi sukan berkenaan tetapi turut sama aktif mengendalikan sesi latihan peserta bawah 12 tahun.
 
Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, sejak UKM menjadi pusat prestasi tinggi kriket kendalian bersama Persatuan Kriket Melayu Malaysia, pusat pengajian tinggi itu juga menjadi hos kepada sesi latihan pemain bawah 12 bagi lelaki dan perempuan.
 
''Puluhan pemain akan berhimpun hujung minggu untuk sama-sama berlatih di bawah pengawasan jurulatih Kriket Melayu dengan bantuan pemain kebangsaan dari UKM,'' katanya sempena Klinik Kriket Astro di Bangi pada 20 Februari 2011.
 
UKM menjadi hos klinik tahunan anjuran Astro-Kriket Melayu sejak tiga tahun lepas dengan penyertaan tahun ini daripada kalangan peminat dari Lembah Klang telah meningkat seramai 172 orang.
 
Dr. Sharifah Hapsah mengalu-alukan penyertaan ramai lagi peserta berusia lima hingga 12 tahun bagi sesi hujung minggu di UKM untuk sebahagian daripada usaha memastikan kesinambungan pembangunan kriket di kalangan pemain peringkat usia.
 
Klinik Astro digerakkan sejak tahun 2001 dengan sesi pertama berlangsung di Sekolah Kebangsaan Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
 
Pemain kebangsaan, Faruq Hakimin Azmi menerangkan cara melakukan hayunan kepada peserta klinik Kriket Astro di UKM Oval, Bangi semalam. - Utusan/Hayat Sueet