Kriket Twenty20 UKM - Hari Ke-2

UKM layak ke separuh akhir

SATU lagi wiket pasukan Universiti Islam Antarabangsa diranapkan berikutan serbuan pembaling pembukaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Syazrul Ezat Idrus. KLANG, 11 Mac - Saingan yang dijangka sengit antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ternyata tidak menjadi apabila UKM yang rata-ratanya diwakili barisan pelapis kebangsaan menang mudah dalam pertemuan kedua peringkat kumpulan Kejohanan Kriket Twenty20 UKM di Bayuemas Oval, Klang hari ini.
 
Saat manis menjuarai Perisai Raja-Raja ternyata menjadi tonik berharga buat UKM untuk mudah menewaskan UIAM yang diwakili seratus peratus pelajar luar negara dengan pengumpulan 143 larian sekali gus muncul pasukan pertama yang akan beraksi pada separuh akhir 13 Mac ini..
 
Walaupun tewas dalam undian dan diarah membuat pukulan terlebih dahulu, UKM dengan bergaya melakukan 185 larian dalam 20 over sekali gus memberi sedikit tekanan buat UIAM apabila tiba giliran mereka memukul.

Ketua pasukan UKM, Shahid Ali Khan muncul pemain terbaik perlawanan dengan mencatatkan 55 larian, manakala rakannya Ahmad Faiz M. Noor melakukan 40 larian diikuti Fauzi Ariffin 25 larian.
 
Tuah ternyata tidak menyebelahi buat pemain UIAM apabila tersungkur mudah apabila hanya berupaya melakukan 42 dalam 13 over.
 
Selepas pertemuan, Shahid Ali sangat berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan oleh rakan-rakannya walaupun mereka menjangkakan perlawanan sengit menentang UIAM.
 
"Kami mungkin berada pada tahap terbaik selepas muncul juara Perisai Raja-Raja tempoh hari tetapi walaupun sudah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kami perlu berhati-hati terutama dengan Universiti Multemedia Malaysia (MMU) yang turut membariskan pemain luar negara," kata pelajar jurusan Pengajian Bahasa itu.
 
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan sebelah petang hari ini, MMU mengalahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan empat wiket sekali gus muncul pasukan kedua ke separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan kedua.
 
UPNM yang membuat pukulan terlebih dahulu melakukan 100-9 dalam 20 over sebelum MMU membalas dengan 103-6 dalam 16 over.

 
KEPUTUSAN 11 Mac 2009:
 
Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan Universiti Islam Antarbangsa dengan 143 larian.
UKM 185-7 (20 over). Shahid Ali Khan 55, Ahmad Faiz M. Noor 40, Fauzi Ariffin kekal 25, Shafiq Sharif 22.
UIA 42 (13 over) Syazrul Ezat Idrus 5-12, Hazrul Zainal 3-8.
Pemain terbaik: Shahid Ali Khan (UKM)
 
Universiti Multimedia kalahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan 4 wiket.
UPNM 100-9 (20 over)
Shahrul Amin Sabri19, Fuad Abdullah 14. Farhadul Haque 2-1, Shereen Mohammad 2-16.
MMU 103-6 (16 over) Shereen Mohammad 31, Ali Tur 23. M. Khairy 2-4, Adzeli Gani 2-33.
Pemain terbaik; Shereen Mohammad (MMU)

SATU lagi wiket pasukan Universiti Islam Antarabangsa diranapkan berikutan serbuan pembaling pembukaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Syazrul Ezat Idrus.

SATU lagi wiket pasukan Universiti Islam Antarabangsa diranapkan berikutan serbuan pembaling pembukaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Syazrul Ezat Idrus.