Aksi aib di Thailand: Jangan hanya salahkan pemain

Pukulan SisiLANGSUNG tidak boleh dipercayai pencapaian Malaysia pada saingan Piala Asia Bawah 19 edisi 2011 yang berlangsung di Thailand. Tidak pernah terfikir langsung Malaysia hanya memenangi satu perlawanan sahaja dan kalah empat dalam perlawanan peringkat kumpulan yang mengandungi Qatar, Singapura, Bahrain dan Hong Kong.
 
Semasa skuad peringkat usia merangkak beberapa tahun terdahulu pun tidak pernah mencapai 'kegemilangan' semacam ini. Saya percaya semua pemain yang dipilih berprestasi tinggi. Tetapi tidak pula saya mempercayai pasukan lain yang mengambil bahagian terutama dalam kumpulan berkenaan terlalu perkasa berpandukan keputusan dalam kumpulan A itu.
 
Dikhuatiri beberapa faktor utama menampilkan ketirisan dalam pertandingan tahun ini.
 
a) Sesi persediaan tidak digerakkan dengan baik dan hanya dikumpulkan pemain akhir mulai Disember 2010. Tidak ada persediaan sebelum ini untuk memusatkan tumpuan ke arah pertandingan pada awal 2011.
 
b) Pemilihan kapten dan penolongnya hanya dibuat sambil lewa; tidak berpandukan kebolehan. Kononnya kedua-duanya berada dalam pool kebangsaan dan pernah mewakili negara.
 
c) Keupayaan jurulatih yang boleh dipertikaikan dalam semua segi.
 
d) Penyertaan hanya bagaikan melepas batuk di tangga.
 
Bagaimana sesebuah pasukan mahu mencapai keputusan baik jika perkara yang sering dihamburkan oleh kepemimpinan Persatuan Kriket Malaysia hanyalah: '' Tiada duit atau tiada bajet.''
 
Dua tahun lepas di Kuwait, skuad bawah 19 Malaysia berkeupayaan menduduki tangga kelima manakala barisan bawah 16 tahun lalu menduduki tempat ketiga di Kathmandu.
 
Paling mengaibkan skuad negara kali ini tumpas kepada Singapura dengan empat wiket dan tertiarap dengan 62 larian kepada Qatar.
 
Memang Malaysia memiliki ramai pemain yang berkualiti dalam pool bawah 19 tetapi jika game planning  di tahap terendah sememangnya tidak akan membolehkan sesebuah pasukan berjaya. Malaysia yang  dijadikan antara pasukan pilihan kali ini tumbang memalukan dan siapa yang bakal dipertanggungjawabkan?
 
Apakah mesyuarat agung Persatuan Kriket Malaysia tidak lama lagi bakal memberikan jawapan kepada kegagalan ini? Atau hanya keseronokan beberapa pihak untuk mengekalkan jawatan macam kebiasaannya?
 
Tidak perlu 'orang besar' menguasai jawatan penting tetapi sesebuah persatuan memerlukan golongan yang ada hati untuk memajukan sukan ini; baik bekas pemain atau peminat kriket.
 
Jika alasan tiada duit atau tiada bajet masih menjadi sebab musabab untuk latihan pusat, tidak gunalah duduk memegang jawatan. Kriket amat bernasib baik kerana kegiatan pembangunan terletak di bahu Persatuan Kriket Melayu Malaysia. Kriket Merlayu menyediakan pemain tahap tinggi menerusi pembangunan menyeluruh dan menyerahkannya kepada Kriket Malaysia untuk sebarang pertandingan peringkat antarabangsa. Alangkah untungnya.
 
Janganlah salahkan pemain kali ini. Prestasi mereka di tahap tinggi.  Yang benar-benar tidak mampu meneruskan penyudahnya ialah  pengurusan pasukan itu sendiri.
 
Jangan berkecil hati. Fikir masak-masak.