Kriket Twenty20 UKM

UKM, MMU bermula cemerlang

Oleh FERZALFIE FAUZI

SERBUAN pembaling UKM ke arah pemukul UiTM yang menyaksikan UKM menang mudah ke atas lawan di Bayuemas Oval, 10 Mac 2009. - Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN

KLANG, 11 Mac  - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menghadapi masalah untuk membenam Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan 10 wiket pada hari pertama saingan kriket Twenty20 UKM bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi bermula di Bayuemas Oval ,Klang hari ini.

Bagaimanapun UiTM yang kalah undian dan dipaksa membuat pukulan sekadar mencatatkan 22 larian dalam 11.5 over, sekali gus memberikan lalaun cerah buat UKM yang akan mengambil giliran memukul.
Pemukul UiTM, Ahmad Farid Wajidi Mahmud dan Mohd. Anas Mashudi melakukan empat larian manakala Mohd. Khairul Asyraf serta Mohd. Iskandar Shah masing-masing mencatat tiga larian.

Ternyata UKM tidak mempunyai masalah apabila tiba giliran memukul dengan mencatatkan 25 larian dalam hanya tiga over hasil aksi cemerlang Fauzi Ariffin yang mencatatkan 22 larian sambil dibantu oleh Mohd. Yusri Hidrus dengan satu larian.

Menurut pengurus pasukan UKM, Fairus Shafie, kemenangan pasukannya adalah hasil daripada kerjasama berpasukan yang kuat dan semua berada dalam keadaan cergas.

"Ini akan menjadi pembakar semangat buat kami menjelang perlawanan yang dianggap sengit pada 11 Mac apabila menentang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang merupakan juara antara universiti.

"Mereka (UIAM) terdiri seratus peratus pemain pelajar luar negara dan saya menganggap pertemuan ini sebagai pertemuan antara juara, juara Kejohanan Perisai Raja-Raja dan juara antara universiti," katanya.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan di gelanggang yang sama pada sebelah petang Universiti Multimedia Malaysia (MMU) yang rata-rata dibarisi pelajar luar negara tidak menghadapi masalah untuk membenam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan lapan wiket.

UTM yang tewas dalam undian dan dipelawa membuat pukulan hanya mencatat 89 larian dalam 17.5 over berbanding MMU yang 92-2 dalam lapan over selepas tiba giliran mereka untuk memukul.

Pemain MMU paling cemerlang ialah Javed Hossain yang melakukan 39 larian sambil diikuti Ali Tur ,21 dan Atiqur Rahman dengan 10.

Selain perlawanan antara UIAM menentang UKM satu lagi perlawanan yang berlangsung pada 11 Mac ialah pertemuan antara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan MMU.
 
SERBUAN pembaling UKM ke arah pemukul UiTM yang menyaksikan UKM menang mudah ke atas lawan di Bayuemas Oval, 10 Mac 2009. - Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN
SERBUAN pembaling UKM ke arah pemukul UiTM yang menyaksikan UKM menang mudah ke atas lawan di Bayuemas Oval, 10 Mac 2009. - Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN
 
PENJAGA wiket UKM, Shafiq Sharif (kiri) bersedia di belakang kayu pancang dalam pertemuan menentang UiTM di Bayuemas Oval 10 Mac 2009.
PENJAGA wiket UKM, Shafiq Sharif (kiri) bersedia di belakang kayu pancang dalam pertemuan menentang UiTM di Bayuemas Oval 10 Mac 2009.