Tanah Merah jadi pusat pembangunan ke-17 Kriket Melayu

SEBAHAGIAN daripada peserta himpunan bersama barisan jurulatih di SK Tanah Merah 1 pada 6 Disember 2010. TANAH MERAH - Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan menjadikan jajahan Tanah Merah sebagai pusat ketiga dalam Program Pembangunan Kriket Remaja di Kelantan mulai tahun depan untuk menggenapkan sejumlah 17 pusat di seluruh negara.
 
Sewaktu mengharungi sesi Himpunan Pengenalan Bawah 12 sejak 3 hingga 6 Disember 2010 di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah 1, kesungguhan 53 pemain perempuan dan lelaki bersama pegawai setempat amat meyakinkan beberapa anggota majlis Kriket Melayu.
 
Buat masa ini Kota Bharu dan Kuala Krai adalah pusat di bawah program pembangunan bawah 12 kelolaan Kriket Melayu. Lain-lain pusat peringkat usia berkenaan di seluruh negara ialah Westlands (Pulau Pinang), Sungai Layar (Kedah), Bukit Petaling (Kuala Lumpur), Kelab PJ, Kuala Langat, Sungai Besar (Selangor), Gemencheh, Gadong (Negeri Sembilan), Lereh (Melaka), Parit Jawa (Johor), Pekan, Kerambit (Pahang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Setiu (Terengganu).
 
''Kami telah memperoleh sokongan daripada Ahli Majlis Kriket Melayu, Rusli Asri yang turut sama berada di Tanah Merah untuk memantau dengan dekat kesungguhan kami di sini.
 
''Saya akan memastikan pembangunan kriket di jajahan ini di tahap tertinggi mulai tahun depan,'' kata Setiausaha Persatuan Kriket Kelantan yang juga penyelaras himpunan, M. Hanuzi Zaharim.
 
Kriket Melayu telah menyenaraikan dua tenaga kejurulatihan untuk sesi himpunan pengenalan selama empat hari diketuai oleh bekas penjaga wiket kebangsaan, Haris Abu Baker dan jurulatih dari Bangladesh, SM Mortuza Raihan.
 
Tanah Merah merupakan kawasan strategik memandangkan jajahan berkenaan berada di tengah-tengah Kota Bharu dan Kuala Krai.
 
Turut sama membantu himpunan itu ialah Pegawai Pelajaran Daerah, Che Abdullah Mohd, jurulatih tempatan, Yusoff Abdullah dan Zaki Malik bersama pegawai penyelaras, Nik Tajuddin Majid, Jusoh Deraman dan Hashim Abdullah.
 
SEBAHAGIAN daripada peserta himpunan bersama barisan jurulatih di SK Tanah Merah 1 pada 6 Disember 2010.
SEBAHAGIAN daripada peserta himpunan bersama barisan jurulatih di SK Tanah Merah 1 pada 6 Disember 2010.