UKM berentap dalam babak akhir

LogoKUALA LUMPUR - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengatasi babak-babak cemas pada pertengahan aksi separuh akhir Kejohanan Kriket Undangan Antara Varsiti Antarabangsa untuk mengetepikan University of Colombo, Sri Lanka dengan dua wiket dalam pertemuan di Bayuemas Oval, Klang pada 3 Ogos 2010.
 
Dengan kemenangan berkenaan, UKM akan bertemu University of Western Australia (UWA Australia) dalam pertemuan akhir, juga di Bayuemas Oval, 5 Ogos ini.
 
UKM menerima gegaran awal apabila kehilangan dua pembuka pukulan dengan hanya enam larian atas papan catatan. Skuad Sri Lanka yang mengumpulkan 153 larian juga merasai kemenangan menghampiri mereka apabila UKM cemas pada kedudukan 114-8.
 
Apa pun pemukul kesembilan dari Felda Redong, Labis, Aliman Ahmad (28 tanpa tewas) menyempurnakan misi kemenangan dengan aksi cemerlang di lapangan tengah.
 
Terdahulu ketua pasukan, Ahmad Faiz M. Noor (44 larian), Aminudin Ramly (33) dan Suhan Kumar Alagaratnam (23) mengekalkan rentak tuan rumah untuk mempertahankan kedudukan bagi mengejar angka kemenangan.
 
''Misi untuk ke babak akhir sudah dicapai. Kini tiba masa bagi membenam lawan yang merupakan pasukan pilihan dalam kejohanan ini.
 
''Kami akan melakukan perancangan untuk merangkul kejuaraan kelak,'' kata Pegawai Kanan Belia dan Sukan UKM, Fairus Shafie.
 
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di Kinrara Oval, pasukan pilihan, UWA Australia menang besar, 88 larian ke atas University of Engineering & Technology Pakistan.

 
KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR

Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan University of Colombo dengan 2 wiket.

University of Colombo 153 (48.1 over) Mihindu Ariyaratna 23, Tharindu De Silva 22, Charith Gunaratna 21, Mahesh Kodamullage 20; Nik Azril Arifin 4-24, Faruq Hakimin Azmi 3-29.

Universiti Kebangsaan Malaysia 154-8 (40.4 over) Ahmad Faiz M. Noor 44, Aminudin Ramly 33, Aliman Ahmad kekal 28, Suhan Kumar Alagaratnam 23;  Mahesh Kodamullage 6-30.

Pemain terbaik: Aliman Ahmad (UKM)

University of  Western Australia kalahkan University of Engineering and Technology Pakistan dengan 88 larian.

University of Western Australia  276 (44.5 over) Shandip Abeywihrema 76, Michael Smith 61, Josh Mangan 40; Hamza Burhan 4-46, Abid Ali 3-26.

University of Engineering & Technology Pakistan  188-9 (50 over)
Raihan A. Hakim 65, Abid Ali 23, Salman  Ahmad  21; Josh Mangan 3-69, Tyrone Lopez 3-27, Peter Mizza 2-17.

Pemain terbaik: Shandip Abeywihrema (UWA)

PEMUTAR kiri UKM, Faruq Hakimin Azmi mengemukakan rayuan kepada pengadil pada pertemuan di Bayuemas Oval, Klang.

PEMUTAR kiri UKM, Faruq Hakimin Azmi mengemukakan rayuan kepada pengadil pada pertemuan di Bayuemas Oval, Klang.