UKM mudah atasi Christ University

LogoKUALA LUMPUR - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memahat keyakinan pada hari pertama saingan Kriket Undangan Antara Varsiti Antarabangsa apabila dengan mudah membaham Christ University dari India (CU) dengan lapan wiket di Bayuemas Oval, Klang 29 Julai 2010.
 
Dengan meletakkan lawan memukul pada sesi pagi yang dipenuhi dengan kelembapan di lapangan tengah, UKM memastikan Christ University tersungkur pada kedudukan 98 dalam 40 over.
 
Permutar kanan berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan, Nik Azril Ariffin meranapkan tiga wiket untuk 26 larian yang kemudian memberi laluan mudah bagi pemukul UKM mengejar sasaran dalam hanya 17.4 over.
 
''Kami akan berehat untuk dua hari sebelum bertemu skuad University of Engineering & Technology dari Pakistan 1 Ogos ini. Kami terlalu hauskan kecemerlangan,'' kata Pegawai Kanan Belia dan Sukan UKM, Fairus Shafie.
 
Pembukan pukulan Faris Almas-Lee (32 larian tanpa tewas) berpadu tenaga bersama Suhan Kumar Alagaratnam (kekal 21) untuk mengumpulkan angka 99-2 bagi UKM meraikan kejayaan awal.
 
Dalam satu lagi perlawanan, University of Colombo (UC) juga menang mudah ke atas National University of Singapore (NU Singapura) dengan 115 larian di Kinrara Oval.

KEPUTUSAN

Universiti Kebangsaan Malaysia kalahkan Christ University India dengan 8 wiket.

Christ University 98 (40 over) Akash U. Jain 22; Nik Azril Arifin 3-26, Derek Michael Duraisingam 2-8.

Universiti Kebangsaan Malaysia 99-2 (17.4 over) Faris Almas-Lee kekal 32, Ahmad Faiz M.Noor 27, Suhan Kumar Alagaratnam kekal 21.

Pemain terbaik: Nik Azril Arifin(UKM)

University of Colombo kalahkan National Universitiy of Singapore dengan 115 larian.

University of Colombo 241-7 (50 over) Mahesh Kodamullage 55, Mihindu  Ariyaratna kekal 48, Chamal Rajapaksa 36, Ashan Peiris 19; Rajasekaran Vignesh 3-29.

National University of Singapore 126-9 (50 over) Ramaraja Pandian 49,Deepak Rajendran 28; Roshan Peiris 3-21, Charith Hendawitharana 2-16.

Pemain terbaik: Mihindu Ariyaratna (University of Colombo)