Saingan sukar bagi tuan rumah

LogoKUALA LUMPUR - Tuan rumah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak boleh menaruh harapan tinggi untuk menduduki tangga teratas dalam saingan Kriket Undangan Antara Varsiti Antarabangsa bermula 29 Julai hingga 5 Ogos.
 
Dengan enam pasukan bertaraf tinggi menyertai kejohanan, University of Western Australia (UWA Australia) diramalkan mudah mara ke babak akhir berdasarkan kegarangan pasukan itu dalam liga peringkat negeri di Australia Barat.
 
Satu lagi pasukan yang digeruni dalam pertandingan tahun ini ialah University of Engineering & Technology (UET Pakistan) dari Pakistan yang berada dalam kumpulan A bersama UKM dan Christ University (CU India) dari Bangalore, India.
 
Sejak dua tahun lepas, UKM telah menganjurkan saingan Undangan Antara Varsiti Asia dan skuad berkenaan memenangi kejuaraan tahun lepas manakala setahun sebelum itu, University of Colombo (UC Sri Lanka) bergelar juara.
 
''Tahun ini saingan lebih terbuka dan terlalu mencabar dan saya mahu barisan UKM melonjakkan keupayaan untuk mara lagi,'' kata Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
 
Dalam kumpulan B di samping UWA Australia, dua lagi pasukan ialah  UC Sri Lanka dan National University of Singapore (NU Singapura).
 
Malaysia bergantung harapan kepada barisan muda kebangsaan untuk membangkitkan kegarangan dalam perlawanan pembukaan menentang CU India di Bayuemas Oval hari ini manakala perlawanan seterusnya hanya berlangsung pada Ahad bertemu UET Pakistan.
 
Pembuka pukulan Faris Almas-Lee akan bergandingan dengan rakan sepasukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Shafiq Sharif di samping Aminudin Ramly, Ahmad Faiz Noor, Shahrulnizam Yusof, NIk Azril Ariffin, Faruq Hakimin Azmi, Aliman Ahmad dan Zaid Asyraf Norazmi.
 
UKM yang merupakan pusat prestasi tinggi kriket peringkat nasional merupakan penganjur kejohanan tahunan itu.

 
JADUAL
 
29 Julai
UKM lwn CU India
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
UC Sri Lanka lwn NU Singapura
(Kinrara Oval, 9.30 pagi)
 
30 Julai
UET Pakistan lwn CU India
(UKM Oval, 9.30 pagi)
 
31 Julai
UWA Australia lwn NU Singapura
(UKM Oval, 9.30 pagi)
 
1 Ogos
UKM lwn UET Pakistan
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)
UWA Australia lwn UC Sri Lanka
(Kinrara Oval, 9.30 pagi)
 
3 Ogos
Separuh akhir
(Bayuemas Oval, Kinrara Oval, 9.30 pagi)
 
4 Ogos
Penentuan ketiga dan kelima
(Bayuemas Oval, Kinrara Oval, 9.30 pagi)
 
5 Ogos
Penentuan juara
(Bayuemas Oval, 9.30 pagi)

Logo

----------------------------------------------------------------------------------- 

Logo