Alimuddin umum dua lagi kejohanan kriket tahun depan

ALIMUDDIN (kiri) menyerahkan Piala Ketua Pengarah Pelajaran kepada kapten Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Fikri Makram Rosdi di Bayuemas Oval, Klang  pada 25 Julai 2010. KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia akan mengadakan pakatan untuk mewujudkan dua lagi aturcara kriket tahun depan bagi memastikan pembabitan menyeluruh pelajar sekolah.
 
Di samping memperkenalkan pertandingan tahunan antara Sekolah-Sekolah Malaysia menentang Sekolah-Sekolah Singapura, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mengumumkan perancangan menganjurkan saingan kriket Perisai Menteri Pelajaran yang bakal melahirkan sekolah juara  di peringkat kebangsaan.
 
''Perancangan mewujudkan dua pertandingan ini bertepatan pada waktu dalam usaha kerajaan memulakan dasar Satu Murid (Pelajar) Satu Sukan,'' katanya.
 
Langkah memulakan pertemuan tahunan antara barisan kriket Sekolah-Sekolah Malaysia menentang Singapura telah diusulkan tiga tahun lepas dan kini akan dibincang dengan serius untuk dimulakan sebaik sahaja selesai temasya Kriket Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia pertengahan tahun depan.
 
Manakala saingan kriket antara sekolah-sekolah merebut Perisai Menteri Pelajaran digerakkan dengan format mencari juara peringkat negeri terlebih dahulu menerusi pertandingan MSS Negeri. Kemudian pertemuan antara zon diadakan untuk memilih lapan pasukan terbaik ke pusingan akhir bagi menentukan skuad sekolah juara.
 
''Dengan penampilan pertandingan begini, misi untuk meramaikan pemain kriket akan tercapai secara menyeluruh di seluruh pelosok negara,'' kata Alimuddin pada babak akhir Cabaran Projek Kriket Nasional merebut Piala Ketua Pengarah Pelajaran di Bayuemas Oval, Klang, 25 Julai 2010.
 
Dalam babak akhir itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free mengekalkan kejuaraan tahun keempat berturut-turut apabila mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria dari Kuala Lumpur dengan kelebihan ining pertama.
 
Cabaran Projek Kriket Nasional dianjurkan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 2004 dengan SMK Victoria menjadi juara mulai 2004 hingga 2006. Dua lagi sekolah yang beraksi dalam pertandingan itu ialah Sekolah Sukan Bandar Penawar sehingga tahun 2008 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang mulai tahun 2008.
 
Kejohanan itu adalah sebagai kemuncak kepada program pembangunan Kriket Melayu menerusi pusat di Projek Kriket Nasional-Pembangunan Menengah.
 
Alimuddin seterusnya mengalu-alukan penyertaan banyak lagi sekolah menerusi pengenalan Projek Kriket Negeri kendalian Kriket Melayu untuk merancakkan lagi saingan merebut Perisai Menteri Pelajaran kelak.
 
ALIMUDDIN (kiri) menyerahkan Piala Ketua Pengarah Pelajaran kepada kapten Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Fikri Makram Rosdi di Bayuemas Oval, Klang  pada 25 Julai 2010.
ALIMUDDIN (kiri) menyerahkan Piala Ketua Pengarah Pelajaran kepada kapten Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Fikri Makram Rosdi di Bayuemas Oval, Klang  pada 25 Julai 2010.